Martin Auer: Perang Yang Aneh, Cerita-cerita bagi Budaya Keamanan |
|
Laporan kepada Majlis Sistem Suria BersatuPlease share if you want to help to promote peace! Diterjemahkan oleh Ain JaafarThis translation has not yet been reviewed |
|
Bücher und CDs von Martin AuerIn meinem Haus in meinem Kopf Gedichte für Kinder Die Prinzessin mit dem Bart Joscha unterm Baum Was die alte Maiasaura erzählt Die Erbsenprinzessin Der wunderbare Zauberer von Oz - Hörbuch zum Download Die Jagd nach dem Zauberstab, Roman für Kinder - Hörbuch zum Download Der seltsame Krieg Geschichten über Krieg und Frieden Zum Mars und zurück - Lieder Lieblich klingt der Gartenschlauch - Lieder Lieschen Radieschen und andere komische Geschichten - CD |
Berdasarkan pemerhatian kami semasa lebih kurang 10,000 revolusi planet Yer, kami harus dengan segera menasihatkan agar planet ini dan penduduknya tidak diterima menjadi ahli Sistem Suria Bersatu. Terdapat satu spesis penduduk di planet Yer yang menganggap dirinya cerdas dan semasa sejuta revolusi yang lepas, ia telah membiak dengan begitu hebat dan merebak ke seluruh planet: apa yang dipanggil Nin, Orang atau Manusia. Spesis ini, yang merupakan keturunan penghuni pokok, memang menganggap dirinya cerdas, tetapi enam bilion Nin yang ada sekarang ini tidak berupaya menyelaraskan tindak-tanduk mereka antara satu sama lain dengan apa cara yang munasabah. Seringkali sebahagian daripada mereka memusnahkan apa yang telah dicipta oleh orang lain. Mereka juga merampas makanan dan pakaian dari satu sama lain. Mereka ada menghasilkan barang-barang yang sepatutnya menjadikan kehidupan mereka lebih mudah dan menyenangkan, namun dalam proses menghasilkan barang-barang tersebut, mereka memusnahkan dan meracuni atmosfera, air dan tanah planet mereka, dan dengan cara ini mereka membuat kehidupan mereka lebih sukar. Salah satu masalah paling buruk yang mereka hadapi ialah suatu adat (atau patutkah kita menamakannya sejenis penyakit?) yang mereka namakan wojna, perang, krieg atau guerra. Apabila wojna meletus, kumpulan-kumpulan besar Nin menyerang dan membinasakan sesama sendiri. Mereka memusnahkan tempat tinggal dan bekalan makanan "musuh-musuh" mereka dan mereka mengenakan deraan yang amat dahsyat ke atas satu sama lain. Pasukan penyelidik kami cuba mengkaji mengapa mereka berbuat begitu. Sebenarnya, Nin sendiri mempunyai perbezaan pendapat mengenai perkara ini. Ramai di kalangan mereka, dan ini merupakan sesuatu yang aneh, yang menentang adat kejam ini dan menganggapnya sebagai musibah yang paling buruk yang melanda manusia. Yang lainnya tentu sekali sukakan wojna. Mereka menceritakan tentang peperangan atau menonton wayang mengenai peperangan. Nin yang menentang wojna mempunyai pandangan yang berbeza tentang sebab-sebab berlakunya peperangan. Sesetengah daripada mereka menganggapnya hanya sebagai ledakan kegilaan di kalangan sebilangan besar Nin. Yang lainnya percaya bahawa Nin memiliki dua jiwa yang berbeza dalam diri mereka, satu yang baik yang menyayangi Nin lain, dan yang jahat yang membenci Nin lain. Walaupun demikian, yang lainnya percaya bahawa wojna bukanlah sesuatu yang baik tetapi malangnya, sekali sekala ia adalah perlu. Seringkali berlaku di mana dua kumpulan Nin memulakan wojna menentang satu sama lain dan setiap kumpulan berkata, "Kami tidak mahukan peperangan ini, tetapi malangnya orang lain memaksa kami melakukannya." Pasukan penyelidik kami cenderung mengambil pandangan bahawa masalah asas Nin ialah mereka tidak berupaya mengharmonikan tindak-tanduk kumpulan-kumpulan yang besar dengan satu sama lain. Mereka seakan-akan masih belum mengerti bahwa mereka bukanlah individu yang berasingan tetapi saling terkait antara satu sama lain dan dengan semua penduduk planet yang lain. Agar maknanya dapat difahami oleh Nin, kita boleh mengambil contoh dua penghuni Nin yang dikenali sebagai lembu jantan oleh sesetengah Nin. Jika dua ekor lembu jantan ini ditambat pada bahagian depan sesebuah cara pengangkutan (dinamakan kereta tarik oleh sesetengah Nin) dan seekor lembu jantan menarik ke arah utara tetapi yang seekor lagi ke arah barat, kedua-duanya akan berada di barat laut kesudahannya, sungguhpun tidak seekor pun di antaranya ingin ke sana sebenarnya. Nin masih belum memahami bahawa mereka terikat kepada semua enam bilion Nin yang lain seperti juga kedua-dua lembu jantan di bahagian depan kereta itu. Hanya tindakan mereka adalah lebih merumitkan daripada menarik sesebuah kereta, dan akibat tindakan enam bilion Nin sudah tentu lebih sukar diperhitungkan berbanding dengan laluan dua ekor lembu jantan. Setakat ini, nampaknya kecerdasan Nin belum lagi terbukti. Berikutnya ialah satu laporan oleh pasukan penyelidik kami mengenai asal-usul wojna di planet Yer. Beribu-ribu revolusi planet yang lalu, semasa Nin masih lagi hidup sebagai pemburu dan pengumpul di hutan-hutan, mereka belum lagi mengetahui apa itu wojna. Pada masa itu, Nin tinggal bersama-sama dalam kumpulan yang kecil dan merayau-rayau dalam hutan. Kumpulan seperti ini terdiri daripada enam puluh hingga lapan puluh orang sahaja, mungkin sepuluh hingga lima belas buah keluarga. Setiap kumpulan mempunyai kawasan buruan masing-masing sepanjang satu tahun, mencari beri dan buah-buahan, cendawan dan akar kayu, siput dan katak, dan tentu sekali binatang yang dapat mereka buru. Dalam satu kawasan, katakanlah di lembah gunung, hanya terdapat sebilangan kecil kumpulan begini, mungkin tiga atau empat kumpulan, paling banyak. Sebuah hutan tidak dapat memberi makan bilangan orang yang besar. Nin ini tidak tahu menahu tentang ketua, mahkamah undang-undang, polis, atau penjara, dan mereka juga tidak mempunyai undang-undang. Mengapa pula mereka harus tahu? Apabila seseorang melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh anggota yang lain, mereka duduk berkumpul berdekatan unggun api pada waktu senja dan membincangkannya. Apabila mereka ingin memburu kijang, mereka mengikut pemburu mereka yang terbaik. Tetapi apabila tiba musim madu sengat liar boleh didapati, mereka menuruti nasihat wanita yang paling arif tentang sengat. Dan apabila berlaku pergaduhan, mereka mematuhi nasihat orang lelaki dan perempuan yang paling tua sebab mereka mempunyai pengalaman yang paling banyak. Nin bersepadu dan berkongsi segala-galanya sesama sendiri kerana mereka tidak dapat bertahan sebaliknya. Apabila sebuah kumpulan menjadi terlalu besar, ia terpaksa berpecah, dan separuh daripada anggotanya harus mencari kawasan buruan yang baru di tempat lain. Dalam kes begini, kumpulan ini mungkin memasuki kawasan kumpulan lain. Dan benar, pergaduhan mungkin berlaku. Namun pergaduhan seperti ini akan berakhir dengan cepat. Mungkin ia hanyalah satu perkelahian yang besar. Dan sebaik sahaja satu kumpulan cabut lari, pergaduhan itu akan tamat. Pergaduhan begini merupakan suatu kekecualian dan hanya berlaku apabila sebuah kumpulan terpaksa meninggalkan kawasannya. Perkara ini tidak sering berlaku sebab kaum wanita menyusui anak-anak mereka selama empat tahun atau lebih dan ini menghalang mereka daripada melahirkan anak sepanjang waktu tersebut. Dengan cara ini kaum wanitanya secara tidak sedar menghalang kumpulan tersebut daripada menjadi terlalu besar dan kemungkinan terpaksa berpecah. Sebaliknya, tidak ada sebab untuk bergaduh. Kumpulan-kumpulan Nin ini tiada niat untuk memperluaskan kawasan perburuan mereka. Mereka juga tidak akan dapat memanfaatkan kawasan buruan yang lebih besar. Juga, tidak ada sebab untuk menyerang kumpulan yang berhampiran dan merampas barangan mereka kerana tidak ada apa-apa untuk dirampas. Nin pada zaman itu hanya menyimpan bekalan simpanan yang sedikit. Mereka hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan mengumpul dan memburu hanya sebanyak mana yang dapat mereka makan dalam masa yang singkat. Mereka hidup sedemikian selama beratus-ratus ribu revolusi planet. Kira-kira 6,000 revolusi planet yang lalu, perubahan iklim berlaku di beberapa kawasan yang didiami Nin. Perbezaan di antara musim kemarau dan musim hujan menjadi semakin ketara, dan tumbuh-tumbuhan tertentu tidak lagi hidup. Dan binatang-binatang tertentu yang hidup dengan memakan tumbuh-tumbuhan ini lenyap. Tetapi sebahagian tumbuh-tumbuhan yang mempunyai biji yang keras dapat hidup dengan begitu subur dalam iklim begini. Dan Nin menemukan cara untuk menjaga dan memelihara tumbuh-tumbuhan tersebut dan dengan cara ini mereka dapat menuai lebih banyak makanan dalam satu kawasan yang kecil daripada sekiranya mereka merayau-rayau dan mengumpul apa yang mereka dapat temui. Nin ini tidak lagi mahu merayau-rayau. Mereka mendirikan kampung-kampung yang pertama sekali dan menjadi peladang. Tetapi mereka mengekalkan kebanyakan daripada adat berburu mereka. Maka sebagaimana mereka biasanya berburu bersama-sama, mereka kini berkerja di ladang bersama-sama. Tanah tidak dimiliki sesiapa - atau dimiliki oleh semua orang. Apabila terdapat isu kelompok untuk diputuskan, orang kampung akan berkumpul dan membincangkan masalah tersebut. Mereka tidak melantik pemimpin, tetapi apabila terdapat aktiviti tertentu yang terpaksa diuruskan, untuk membersihkan bahagian hutan yang baru, misalnya, atau untuk membina sebuah pusat masyarakat, atau untuk pergi berburu, maka mereka meminta seorang lelaki atau wanita yang tahu serba sedikit tentang aktiviti itu untuk memimpin mereka. Itulah juga caranya pada masa dulu. Kaum lelaki masih pergi berburu untuk mendapatkan binatang buruan yang semakin tidak seberapa jumlahnya, dan sebahagian besar tugas di ladang dilakukan oleh kaum wanita. Namun oleh kerana makanan yang paling penting dihasilkan dari ladang, kaum wanita sering mendapat hak bersuara yang lebih berbanding dengan kaum lelaki. Kehidupan di ladang ada kebaikan dan keburukan. Para penduduk bergantung kepada bijirin. Semasa mereka masih lagi menjadi pemburu dan pengumpul, tidak menjadi masalah jika sejenis tumbuh-tumbuhan tidak hidup dalam tahun berkenaan. Terdapat beratus-ratus jenis tumbuhan yang lain di hutan. Kini apabila tiba musim kemarau mereka terpaksa berlapar. Makanan mereka juga tidak beraneka jenis, sehingga merosakkan gigi mereka dan anak-anak mereka berbadan kecil. Dan kerjanya berat dan membosankan. Hidup tidak lagi memberikan pelbagai pengalaman dan menyeronokkan seperti dulu. Tetapi mereka tidak boleh kembali ke cara lama, jika untuk sebab selain daripada pemburu dan pengumpul memerlukan lebih banyak tanah daripada peladang. Apa yang baru ialah mereka tidak lagi hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mereka dapat menghasilkan lebih daripada apa yang mereka makan. Mereka boleh menyimpan makanan. Maka mereka mempunyai makanan semasa berlakunya bencana, suatu jaring keselamatan apabila berlaku kemarau ataupun banjir. Dan apabila stok simpanan mereka cukup banyak, mereka juga boleh melaburkan sebahagian daripadanya pada hari muka. Iaitu, apabila mereka mempunyai simpanan bijirin yang mencukupi, mereka dapat, misalnya, membajak sedikit sahaja. Sebahagian daripada mereka sebaliknya boleh membina tali air agar pada tahun selepas tahun berikutnya tuaian yang selanjutnya melimpah-ruah dan lebihannya semakin banyak. Dengan ini mereka sama ada boleh membuat hidup mereka lebih selesa ataupun mereka dapat sekali lagi melabur lebihan bekalan dalam barangan lain. Jika tidak semua orang diperlukan di ladang, salah seorang daripada mereka boleh mula mengkhususi pertukangan besi dan seorang lagi dalam bidang seni tembikar, dan selanjutnya menghasilkan serta memajukan kraf-kraf tersebut yang memudahkan lagi tugas semua orang kemudiannya. Mereka boleh membenarkan sebahagian daripada mereka mengkhususi bidang pemulihan, sembahyang atau penulisan lagu. Memang benar bahawa ini semua tidak menambah lebihan, tetapi ia menjadikan kehidupan lebih menyenangkan dan mewah bagi semua orang. Dengan cara ini, kemajuan tiba secara santai dan perlahan-lahan. Barang kemas dihasilkan; gambar-gambar dilukis; dan patung-patung diukir. Lagu digubah dan cerita dikarang; pakaian menjadi lebih cantik dan tarian lebih rumit. Ia adalah kehidupan yang aman. Di kawasan-kawasan lain, para pemburu mengikut jejak kawan binatang berkuku. Kijang, rusa, biri-biri dan kambing meragut rumput di dataran dalam musim sejuk, di kawasan tanah tinggi dalam musim panas. Para pemburu mengikuti jejak binatang tersebut sewaktu penghijrahan mereka. Di dataran mereka menemui buah tamar, di lereng bukit ok, badam dan pistasio. Di bukit-bukau, mereka menemukan epal dan pear. Biji-bijian hutan menjadi masak pada ketinggian yang berbeza dalam musim yang berbeza. Semakin mahir orang-orang ini berburu, semakin memilih mereka akan binatang yang mereka pilih sebagai mangsa. Apabila mereka kebanyakannya membunuh rusa dan biri-biri jantan muda dan tidak membunuh binatang betina, kawan binatang ini dapat membiak dengan lebih baik. Pemburu membunuh beruang, musang dan serigala agar binatang-binatang ini tidak mengapa-apakan sekawanan binatang. Mereka menggiring kawan binatang ini ke kawasan di mana mereka dapat melindungi binatang-binatang tersebut dengan lebih baik. Biri-biri dan kambing kurang takut-takut berbanding dengan kijang dan rusa, dan lebih mudah untuk membiasakan mereka dengan kehadiran manusia. Maka pemburu lebih suka menurut jejak mereka. Dan pemburu menjadi gembala. Kehidupan penggembala masih lagi serupa dengan kehidupan pemburu yang sebelumnya. Mereka masih lagi bergerak melalui pastura sepanjang tahun, dan mereka sudah tentunya masih lagi memburu binatang yang tidak membenarkan diri mereka dijinakkan. Oleh kerana perburuan masih lagi merupakan urusan kaum lelaki, mereka menganggap kawan binatang sebagai harta mereka, dan di kalangan para gembala kata-kata seorang lelaki lebih diutamakan daripada kata-kata orang perempuan. Sudah tentu gembala dan peladang akhirnya bersemuka dengan satu sama lain. Setiap orang mempunyai sesuatu yang seorang yang lain dapat gunakan. Gembala boleh mendapatkan bijirin dan roti dari peladang dan belanga dan barang-barang lain. Sebagai tukaran, peladang mendapat daging, kulit dan buah-buahan hutan dan kacang. Tetapi pada suatu hari ketua gembala, yang juga seorang pemburu yang sangat mahir, mendapati bahawa ia boleh mengambil apa yang ia mahu dari para peladang tanpa memberi mereka sesuatu sebagai balasan. Peladang, yang tidak lagi biasa berburu, bukanlah pelawan yang sangat mahir. Gembala masih lagi biasa dengan kehidupan berburu. Bagi mereka, peladang ini hanyalah sejenis buruan yang baru. Dan mereka membiasakan diri menyerbu para peladang secara tetap dan merompak mereka. Usah fikirkan bahawa mereka dengan tiba-tiba telah menjadi Nin yang jahat. Mereka hanya mengekalkan cara mereka mencari makan yang sudah menjadi sifat mereka dan hanya menggunakannya ke atas mangsa yang baru: terhadap para peladang dan lembu dan simpanan bijirin mereka. Sesama sendiri, mereka masih lagi berbaik-baik dan suka membantu. Mereka berkongsi binatang buruan mereka, menyelesaikan masalah mereka bersama, dan memperlakukan anak-anak mereka dengan baik. Mereka merupakan pemburu, bukan pahlawan, tetapi mereka yang menyebabkan wujudnya wojna di dunia. Mengapakah mereka berupaya menyerang dan menjarah kampung-kampung peladang? Kerana peladang dapat menghasilkan lebih banyak makanan daripada apa yang mereka sendiri perlukan. Jika pemburu tidak merampas segala-galanya di bangsal, jika mereka tidak mengambil kesemua biri-biri dan khinzir bersama mereka, jika mereka tidak membakar ladang, maka peladang dengan apa cara juga dapat bertahan hingga ke musim menuai yang berikutnya. Dan masih lagi ada sesuatu yang dapat dicuri oleh pemburu. Lama kelamaan, pemburu juga mengikat kontrak dengan peladang: jika peladang memberi mereka bijirin dan daging dengan sukarela - ia dinamakan "ufti" - maka mereka tidak akan menyerang peladang lagi tetapi sebaliknya akan melindungi mereka. Maka pemburu menjadi raja dan pahlawan sementara peladang menjadi pekerja. Dan kini sesuatu yang aneh berlaku. Walaupun raja dan pahlawan tidak membuat kerja sedikit pun dan selain daripada menghabiskan sebahagian besar apa yang dihasilkan peladang, terdapat lebihan yang lebih besar untuk masyarakat ini secara keseluruhannya berbanding dengan apa yang peladang pernah miliki semasa mereka masih lagi bebas. Peladang kini menyimpan kurang sedikit daripada jumlah yang mereka hasilkan, dan mereka menghasilkan lebih daripada sebelumnya. Sebelumnya, apabila mereka bebas memutuskan bagaimana cara untuk menghabiskan masa mereka, mereka sudah tentu tidak dapat mencapai sepenuhnya apa yang dapat dicapai oleh seorang Nin, dan mereka tidak berasa puas hati dengan perkara-perkara yang amat diperlukan oleh Nin. Siapa Nin yang bebas, yang waras, akan berbuat begitu? Tetapi itulah yang raja mereka memaksa mereka buat sekarang: mereka terpaksa bekerja dengan bersungguh-sungguh dan berpuas hati hanya dengan perkara-perkara yang amat perlu. Dan oleh kerana masyarakat pahlawan-peladang ini menghasilkan lebihan yang besar berbanding dengan masyarakat lain, lebih banyak tali air dapat dibina di sini, lebih banyak alat dapat ditempa dan lebih banyak barang yang dapat dicipta berbanding dengan di tempat-tempat lain. Lebih banyak senjata dan benteng yang lebih baik dapat dibina, dan lebih banyak kuil dapat didirikan dan lebih banyak paderi dapat diberi makan berbanding dengan di tempat-tempat lain. Pendek kata: masyarakat seperti ini lebih hebat daripada masyarakat yang lain; ia dapat berkembang dengan lebih cepat, dan ia dapat menawan masyarakat lain dan memaksa mereka menerima dan mengamalkan gaya hidup yang serupa. Suku pemburu yang lama tidak pernah ingin menambah saiz kawasan perburuan mereka. Mereka tidak akan dapat memanfaatkannya. Peladang juga tidak ada keinginan untuk menambah saiz tanah mereka. Mereka tidak akan dapat mengusahakannya. Tetapi raja baru ingin menguasai lebih banyak kampung. Sebab lebih banyak kampung yang mereka kuasai, lebih banyak ufti yang mereka dapat kumpulkan. Dan lebih banyak ufti yang mereka terima, lebih banyak dapat mereka gunakan untuk peningkatan yang akan lebih menguatkan kuasa mereka. Kerana tidak lama kemudian mereka terpaksa berwaspada akan masyarakat peladang dan pahlawan di kawasan lain. Maka perang menjadi satu institusi yang tetap, malahan satu kebiasaan. Mari kita ringkaskan kisah sedih ini. Di mana sahaja Nin tinggal dalam keadaan bebas, mereka menggunakan baki masa selepas tugas mereka untuk perkara-perkara yang membuat kehidupan lebih menyenangkan: untuk mencipta lagu dan menari, untuk bercerita, untuk membuat barang kemas, untuk mencantikkan lagi pakaian, ataupun untuk melukis tubuh mereka. Di mana sahaja Nin dikuasai oleh pahlawan, mereka dipaksa untuk menghasilkan sebanyak makanan yang mungkin agar orang lain dapat memperolehi logam, mengeluarkan senjata, membina kota dan tembok pelindung, segala macam perkara yang sebenarnya membawa derita dan sengsara kepada Nin. Tetapi anehnya, di kawasan pahlawan terdapat juga lebih banyak pakaian yang cantik, lebih banyak barang kemas, patung-patung yang lebih hebat dan juga muzik yang lebih bermutu. Macamana ini boleh berlaku? Kerana ini semua sudah tentu hanya untuk raja-raja sahaja. Mereka mendapatkan ahli seni yang terbaik untuk datang ke istana mereka, memberi mereka makanan yang enak, rumah dan pakaian yang indah, agar mereka dapat menghabiskan sehari suntuk hanya untuk memperelokkan seni mereka. Namun tidak ada seni bagi Nin biasa. Nin yang bebas mempunyai ahli muzik dan tukang barang kemas di setiap kampung, tetapi pada masa yang sama mereka juga adalah peladang dan tidak mempunyai banyak masa untuk mempertingkatkan kemahiran mereka. Maka kaum sateria selalunya lebih mewah berbanding dengan kaum Nin yang bebas, tetapi ini hanyalah kerana kebanyakan Nin tinggal dalam keadaan miskin dan jahil, dan hanya raja dan pahlawannya mempunyai akses kepada kekayaan. Sebab itulah pahlawan lebih kuat daripada Nin yang bebas dan dapat menguasai mereka. Maka Yer menjadi dunia pergaduhan, rompakan dan penindasan. Cara hidup yang menjanjikan keseronokan yang amat sangat bukanlah cara hidup yang dilalui. Sebaliknya, ia adalah cara kehidupan yang menghasilkan lebihan yang paling banyak dan yang membolehkan kemajuan yang amat pesat berlaku. Akibatnya akan dibincangkan secara ringkas dengan menggunakan contoh sebuah kawasan yang dipanggil Empayar Rom: Tidak lama kemudian pahlawan unggul mendapati bahawa mereka boleh menjadi lebih kaya jika mereka menjadikan musuh yang mereka tawan sebagai hamba mereka. Hamba sahaya tidak lagi memiliki sebarang hak. Mereka terpaksa bekerja seperti binatang dan sering diperlakukan lebih teruk daripada binatang. Memang benar bahawa seorang hamba hanya bekerja apabila ia dipaksa. Dan memang benar juga bahawa seorang hamba yang tidak dijaga sebaik seekor binatang, tidak akan hidup lama. Tetapi itu tidak menjadi hal. Perang baru boleh dilancarkan dan hamba baru boleh ditawan. Di Rom akhirnya tiada lagi orang Rom yang merdeka mahu bekerja. Kerja merupakan urusan para hamba. Empayar Rom sentiasa melancarkan peperangan untuk mendapatkan lebih banyak hamba yang melakukan segala tugas dan terpaksa memberi makan Empayar tersebut. Semua orang Rom yang merdeka merupakan askar ataupun orang pemalas yang tidak bekerja, kecuali segelintir yang merupakan pegawai maharaja atau pemilik tanah dan hamba. Empayar Rom sentiasa melancarkan perang dan ia semakin berkembang. Ia memerintah dunia. Namun pada suatu hari ia tumbang. Ia telah menjadi terlalu besar sehinggakan tidak ada askar Roman yang cukup untuk mempertahankan sempadan yang jauh dan pada masa yang sama mengawasai hamba-hamba di seluruh negara. Akhirnya tiba masa di mana perang tidak lagi menjadikan negeri tersebut lebih kuat tetapi sebaliknya membuat ia begitu lemah sehingga ia binasa. Empayar lain menggantikannya. Bentuk kehidupan sosial yang lain wujud. Tetapi satu perkara kekal: bentuk kehidupan sosial yang amat menyenangkan bagi para penduduk bukanlah bentuk yang berjaya; sebaliknya bentuk kehidupan sosial itulah yang menghasilkan lebihan yang paling banyak. Empayar atau negara yang mencapai lebihan yang paling banyak selalunya dapat menguasai empayar atau negara lain dan memaksa mereka mengamalkan cara hidup mereka. Ini tidak pernah berubah dan itulah sebabnya hingga ke hari ini wojna belum lenyap dari kehidupan Nin. Hingga ke hari ini mereka menggunakan sebahagian besar lebihan mereka untuk menghasilkan senjata baru dan malahan yang lebih baik. Kini mereka mempunyai senjata yang dapat memusnahkan segala kehidupan di planet mereka. Sebab itulah mereka amat membahayakan seluruh planet Yer. Hanya apabila Nin faham bahawa wojna dan penindasan hanya mewujudkan harta barulah mereka dapat menemukan bentuk kehidupan sosial yang baru. Namun untuk berbuat demikian mereka harus memahami bahawa harta yang sebenarnya bukanlah bermakna memiliki sebanyak harta yang mungkin di mana mereka boleh menghasilkan barangan lain sebanyak mungkin, dan selanjutnya. Bagi penduduk planet ini, harta yang sebenar mungkin juga dapat ditemui di dalam dunia di mana sebanyak Nin yang mungkin mempunyai masa untuk menghasilkan muzik, menari, bersembang antara satu sama lain, bermain-main, menulis sajak, melukis, bercerita, dan bersukan. Pendek kata, untuk menjadikan kehidupan lebih indah. Jika tidak wojna boleh memusnahkan seluruh planet mereka sebagaimana ia pada satu masa dulu memusnahkan Empayar Rom. Walau bagaimanapun, sama sekali tidak mungkin - setidak-tidaknya ini adalah pendapat kumpulan penyelidik kami - untuk menerima Nin menjadi ahli Sistem Suria Bersatu, selagi mereka tidak memahami peraturan paling asas bagi kehidupan bersama dalam kumpulan yang besar. Author's commentsThis site has content self published by registered users. If you notice anything that looks like spam or abuse, please contact the author. |